Wednesday, April 11, 2012

Tips Perniagaan Rasulullah S.A.W


Berikut ini petikan dari artikel oleh En Zahid Isa

Salam semua

Kali ini saya nak berkongsi tentang teknik pemasaran yang dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Saya buat kesimpulan melalui beberapa kitab sirah yang membicarakan sejarah nabi secara menyeluruh… apa yang saya ulas kembali adalah perkara berkaitan perniagaan Rasulullah S.A.W untuk tatapan & manafaat kita semua..

Konsep Pemasaran 4P digunapakai oleh nabi dalam perniagaan baginda.

1- Produk (Produk)


Rasulullah S.A.W memasarkan barang dagangan atau produk yang menepati citarasa pengguna di kalangan masyarakat Arab. Baginda turut mengutamakan kualiti produk sepertimana Allah berfirman yang bermaksud :

“Wahai manusia! Makanlah apa yang baik & dihalalkan di dunia & janganlah kamu mengikuti langkah syaitan” (Al-Baqarah: 168)

2- Promosi (Promotion)

Promosi adalah aspek penting dalam sesebuah perniagaan. Tanpa promosi yang betul akan mengundang kegagalan yang memeritkan. Walau Rasulullah S.A.W menyedari betapa pentingnya promosi dalam melakukan perniagaan, baginda tidak pernah melebihkan produk dengan maksud ingin memikat pembeli. Promosi merupakan komunikasi dua hala yang penting antara penjual & pembeli. Baginda tegas mengatakan bahawa seorang peniaga yang baik perlu menjauhi diri drpd sumpah/janji yang berlebihan dan melampaui batas. Daripada Abu Hurairah R.A Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sumpah atau janji yang diucapkan untuk melariskan perniagaan dapat merosakkan keuntungan” (Direkodkan oleh Muslim)

Seterusnya dlm satu hadith baginda bersabda :

” Yang dinamakan jualan palsu adalah usaha utk melariskan barang dagangannya, lagi berusaha dgn cara yang tercela” (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

3- Penetapan Harga (Pricing)

Harga sesuatu barang dagangan/jualan amatlah penting. Dalam proses penetapan harga, Rasulullah S.A.W mengamalkan konsep tertentu yang dapat difahami dalam hadith di bawah daripada Abdullah bin Umar :

“Janganlah kamu menyaingi (secara tidak sihat) penjualan saudaramu sendiri”
(Direkodkan oleh Bukhari & Muslim)

Jika diteliti dalam hadith di atas, persaingan yang tidak sihat seperti perang harga yang melampau adalah dilarang. Namun baginda amat mengesyorkan persaingan yang sihat dgn menekankan kpd kualiti produk & memberi nilai hebat kpd pelangan dr produk yang dipasarkan.

4- Pemilihan Lokasi (Place)

Semua peniaga telah maklum tentang betapa pentingnya lokasi/pemilihan tempat dalam perniagaan. Di zaman Rasulullah lebih 1400 tahun dahulu, faktor pemilihan tempat amatlah ditekankan oleh baginda. Pasar-pasar di sekitar Makkah menjadi tumpuan baginda kerana di situlah pedagang-pedagang luar berkumpul dan mengedarkan barangan yang dibawa.

Baginda telah berusaha menempatkan dirinya di kalangan peniaga di sekitar Makkah terutamanya di pasar-pasar besar yang menjadi tumpuan sejak dari kecil lagi. Di sanalah juga Rasulullah S.A.W menjalinkan jaringan sebanyak mungkin dgn para pedagang tempatan & luar Makkah. Di samping itu baginda mementingkan hubungan yang baik dengan semua pelangannya.

Baginda telah melarang beberapa strategi yang tidak adil contohnya strategi yang boleh membebankan petani-petani di kampung dan juga bakal pelangan. Ini dapat difahami dgn lebih jelas dalam hadith baginda S.A.W daripada Jabir :

” Tidaklah dibolehkan penduduk kota menjadi perantara niaga bagi orang di desa. Biarkanlah orang memperoleh rezeki Allah satu daripada yang lain.”
(Direkodkan oleh Muslim).

Dapat difahami secra umumnya, semua strategi yang mengundang kepada ketidakadilan dan kezaliman kepada mana-mana pihak adalah dilarang menurut Rasulullah S.A.W dan wajib dielakkan diamal oleh para peniaga. Etika & amanah serta jujur dalam berniaga amat penting demi mendapatkan rezeki yang Halalan Toyyiban!

Terdapat 2 lagi P yang nak saya kongsikan di masa akan datang...

Tips Pemasaran Kaedah Rasulullah di atas amatlah sesuai dilaksanakan dalam Internet Business ataupun Offline Bisness.. Gunakan kreativiti masing-masing dalam memproses maklumat di atas utk di applykan dalam bisnes online/offline…

Kongsi-kongsikan info di atas & selamat beramal…

Sila sumbangkan info berkaitan demi kepentingan bersama…

Wallaahu’alam.

Sumber: http://rahsiarezeki.wordpress.com/2012/02/28/1013/

Rahsia Kejayaan Irfan Khairi




KEJAYAAN Irfan Khairi mencapai pendapatan RM1 juta melalui perniagaan internet dalam usia yang masih muda telah melonjakkan namanya sehingga digelar sebagai jutawan internet.

Rata-rata pengusaha yang menjalankan perniagaan berasaskan internet telah menjadikan beliau sebagai ikon dan sumber inspirasi untuk maju dalam perniagaan. Pergilah ke mana-mana jemputan seminar bisnes internet sama ada konvensional mahupun berasaskan ‘networking,’ nama Irfan Khairi pastinya disebut-sebut sebagai individu contoh yang berjaya dalam bisnes internet.

Untuk bertemu dengan beliau bagi tujuan wawancara eksklusif, tidaklah sukar kerana tiada protokol. Malah, temujanji yang dibuat hanya mengambil masa tiga hari sahaja untuk direalisasikan tanpa memerlukan surat rasmi.

Rakan-rakan media cetak mahupun elektronik yang sebelum ini telah banyak kali mewawancara beliau mengatakan Irfan Khairi adalah jenis orang yang sangat simple, mudah mesra dan mudah untuk ditemui. Ternyata ianya benar apabila krew kami sendiri berhadapan dengan jutawan muda ini.

Walaupun pertemuan yang diatur di pejabatnya di Damansara Utama (Uptown). Petaling Jaya sekitar 40 minit, namun jawapan yang diberikan oleh Irfan Khairi sudah cukup sempurna untuk diolah menjadi bahan yang sangat bermanfaat untuk para pembaca.

Mengimbas kembali kronologi sejarah dirinya sebelum bergelar jutawan. sebaik sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Multimedia Design dari Staffordshire Universiti, United Kingdom (UK), Irfan menerima tawaran bekerja di salah sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) terbesar di Birmingham iaitu Netmedia (UK) Ltd.

Sebagai pereka sistem multimedia dan perunding internet, beliau diberi tanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK yang dikenali sebagai Learning Grid. Sekarang lebih daripada 5000 buah sekolah di UK menggunakan sistem tersebut.

Oleh sebab minat dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan internet secara sambilan pada 1999.

Perniagaan internet beliau yang menggunakan nama IdeaBubble, sehingga sekarang telah berkhidmat untuk lebih daripada 3000 orang pelanggan dari serata dunia. Kebanyakannya dari Amerika Syarikat, UK, negara-negara Eropah, Timur Tengah, Jepun dan Australia.

Antaranya perniagaannya yang berjaya dan berkembang pesat melibatkan perkhidmatan mereka bentuk buku elektronik (e-book), mereka cipta laman web dan grafik, perkhidmatan SEO (Search Engine Optimization), menjual peta, penempatan hotel, perunding multimedia, e-Niaga dan e-pembelajaran.

Namun demikian, sebelum mencipta kejayaan, beliau mengaku mengalami kegagalan di peringkat awal mengusahakan bisnes internet. Selama setahun beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan pelanggan, menyebabkan perniagaan yang dijalankan tidak mencapai matlamat.

Kegagalan yang dialami menyebabkan Irfan mula belajar tentang selok-belok perniagaan di internet. Hasil penelitiannya, Irfan mendapati bahawa terdapat dua kelemahan utama yang menyebabkan kegagalannya iaitu kaedah promosi yang tidak tepat dan juga kurang fokus.

Minat yang mendalam terhadap perniagaan internet telah mendorong Irfan mempelajari semula pelbagai perkara tentang pemasaran melalui menerusi internet, serta menjadikan beberapa orang pakar dalam bidang pemasaran internet sebagai contoh.

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dipelajarinya sebelum ini, Irfan menyusun semula srategi perniagaannya, dengan bermodalkan kurang daripada RM500.

Dalam percubaan kedua untuk bangkit dari kegagalan itu, Irfan lebih bijak memilih kaedah promosi yang lebih sesuai dengan produk yang diketengahkan. Misalnya, Irfan telah memberi tumpuan promosi kepada pasaran Arab bagi menjual peta Malaysia, apabila mendapati produk tersebut mempunyai permintaan yang tinggi di sana.

Irfan akhirnya berjaya mengangkat perniagaannya ke landasan yang betul, apabila pendapatannya menerusi perniagaan tersebut meningkat berlipat kali ganda daripada pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan tetapnya. Hal ini telah mendorong Irfan menjadikan perniagaan internet sebagai kerjaya sepenuh masa.

Akhirnya, selepas tiga tahun menjalankan perniagaan internet, Irfan telah berjaya memperolehi pendapatan mencecah RM1 juta tanpa perlu ada pekerja dan peralatan komputer yang canggih.

Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan menggunakan komputer riba dan akses internet. Ketika itu, beliau baru sahaja berusia 25 tahun.

Irfan juga tidak lokek berkongsi kejayaannya dengan sesiapa pun malah beliau mencurahkan pengalamannya dengan menulis buku berjudul, “Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar” kepada orang ramai yang berminat mempelajari teknik berkesan untuk menjalankan perniagaan internet.

Menceritakan pengalamannya yang sukar dilupakan ketika mengusahakan perniagaan internet ketika menetap di luar negara ialah pertemuannya dengan seorang jutawan hartanah terkenal, Azizi Ali.

“Antara kisah yang membuatkan orang kenal dengan saya sehingga ke hari ini ialah Azizi Ali.

“Pada mulanya Azizi Ali menjadi pelanggan saya. Beliau membuat pesanan di laman web saya yang menjual perkhidmatan reka bentuk logo. Saya dapat tempahan daripada beliau untuk membuat logo.

“Apabila saya lihat butiran pembayaran menggunakan kad kredit, saya perhatikan nama butiran kad kredit itu nama orang Melayu. Jadi saya tengok alamatnya orang Malaysia. Waktu itu saya rasa macam popular nama itu.

“Saya terus membuat reka bentuk logo untuknya. Kemudian saya baru teringat yang saya ada memiliki buku yang ditulis oleh Azizi Ali. Saya ambil buku itu dan saya tengok alamat buku itu sama dengan alamat yang tertera dalam butiran kad kredit tersebut. Rupa-rupanya Azizi Ali merupakan jutawan hartanah yang terkenal itu.

“Apabila logo telah saya siapkan, saya berinteraksi melalui e-mel dengan Azizi dalam Bahasa Inggeris. Beliau tidak tahu pun yang saya ini adalah orang Melayu. Beliau akhirnya berpuas hati dengan logo yang saya buat melalui testimoni yang dihantar. Selepas membaca testimoninya menerusi e-mel, saya balas balik e-mel beliau dalam Bahasa Melayu.

“Beliau terkejut apabila mengetahui saya orang Melayu. Kemudian beliau pesan supaya saya menemui beliau apabila pulang ke Malaysia. Dipendekkan cerita, saya pulang ke Malaysia bersama isteri ketika cuti panjang.

“Apabila dapat tahu Azizi ada buat seminar, saya terus menemuinya dan bersembang banyak perkara. Dari situlah hubungan saya dengan Azizi Ali mula terbina. Beliau cadangkan kepada saya kenapa tidak awak buat buku tentang perniagaan internet. Jadi, saya terima sahaja cadangan beliau. Saya tulis, Azizi yang terbitkan. Saya menjadi penulis Azizi yang pertama, sebelum ini, syarikat penerbitan beliau tidak ambil seorang penulis pun,” jelas Irfan panjang lebar.

“Apa yang saya nak beritahu di sini ialah tentang betapa hebatnya perniagaan internet, perniagaan tanpa sempadan. Dari beribu-ribu batu jauh jaraknya, saya boleh bertemu dengan Azizi Ali,” kata Irfan yang mengakui bahawa Azizi Ali menjadi titik tolak dirinya dikenali pada hari ini.

Hasil cadangan Azizi Ali yang merupakan seorang pakar kewangan tempatan itulah menyebabkan buku “Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar” ditulis manakala Azizi Ali menajdi penerbit buku berkenaan melalui syarikatnya, Truwealth Sendirian Berhad.

Buku itu telah mendapat sambutan yang di luar jangkaan sehingga mencapai tahap best seller sepanjang tahn 2005. Kewujudan buku itu sebenarnya menjadi “publisiti” yang telah membantu melonjakkan nama Irfan Khairi sebagai ikon perniagaan internet sehingga menjadi rujukan oleh pelbagai pihak.

Di pihak media, terutamanya para editor dan juga wartawan menjadikan beliau sebagai sumber bahan perbincangan mengenai isu yang berkaitan dengan perniagaan internet. Hasilnya, Irfan Khairi mendapat publisiti yang sangat meluas daripada pelbagai media cetak dan elektronik sehingga ke hari ini.

Selain buku, Irfan juga pada setiap bulan turut menganjurkan bengkel serta seminar yang berkaitan dengan perniagaan internet. Kini, beliau bukan sahaja mengajar subjek perniagaan internet pada bengkel yang dikendalikannya, malah turut mendapat tawaran memberi ceramah ke seluruh pelusuk tanah air termasuk di Institut Pengajian Awam serta Swasta. Begitulah sedikit sebanyak kisah kejayaan beliau dalam perniagaan internet.

Bercakap mengenai rahsia kejayaan, beliau mengambil contoh individu yang paling kaya di dunia ini yang turut menjadi idolanya iaitu Bill Gates.

“Saya dapati, mereka yang berjaya kerana mereka melakukan perkara yang disukai. Contohnya Bill Gates, ‘Dari awal hingga menjadi kaya, beliau buat perkara yang diminatinya iaitu pengaturcaraan (programming).

“Beliau menjadi kaya sebab buat perkara yang diminatinya. Saya juga selalu sarankan kepada peserta bengkel kendalian saya buat perkara yang mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri yang kita sendiri tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya industri apa-apa pun boleh tetapi yang paling penting, kita minat,” jelas beliau.

“Kalau hendak berjaya, kita kena fokus. Bisnes internet walaupun pasarannya terlalu besar, kita jangan fikir bahawa kita perlu menjual banyak produk baru boleh berjaya. Kalau bisnes konvensional boleh la keluar banyak produk. Tetapi internet kena kecilkan tumpuan iaitu fokus kepada kekuatan yang kita ada. Contohnya saya sendiri tidak buat semua bentuk design. Saya cuma design kulit buku dan logo sahaja.

“Saya percaya dari dulu lagi bahawa kalau hendak berjaya kita kena lakukan apa yang kita tahu, apa yang kita pandai iaitu kepakaran kita. Saya sendiri, apabila balik semula ke Malaysia, saya masih meneruskan perniagaan internet, tidak buat perniagaan yang lain. Saya tulis buku dan menganjurkan bengkel serta seminar pun adalah yang berkaitan dengan internet, bukan perkara yang lain. Kalau orang suruh saya jual makanan kesihatan, saya tidak serasi walaupun saya ada kelebihan untuk menjualnya melalui internet.

“Selain itu dan yang paling penting adalah faktor promosi. Berniaga internet bukan boleh duduk goyang kaki boleh buat duit. Bisnes kena ada usaha yang berterusan. Kena sentiasa melakukan promosi yang berterusan dengan menggunakan enjin carian dan sebagainya,” katanya.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan perniagaan internet, ini pesan Irfan: “Nasihat saya yang pertama ialah lengkapkan diri kita dengan ilmu perniagaan internet. Perniagaan internet bukan semudah yang disangka. Ia adalah sama seperti perniagaan-perniagaan yang lain.

“Nombor dua, selalu promote perniagaan kita. Kita tidak akan berjaya kalau kita goyang kaki. Promotion kena berterusan sampai bila-bila supaya kita dapat memaksimakan keuntungan.

“Lain dari itu kita kena sentiasa buat apa yang kita minat. Tengok kekuatan yang ada pada diri masing-masing. Lihat keserasian pada diri kita sendiri, jangan tengok orang lain jadi jutawan jual benda ini, kita pun ikut semata-mata hendak jadi jutawan itu. Kenapa kita tidak tengok kekuatan kita sendiri dan cuba ubah menjadi satu bentuk perniagaan,” nasihat Irfan lagi.






Blog-blog motivasi, perniagaan, keusahawanan & kewangan



1. Irfan Khairi : http://www.irfankhairi.com/blog/

2. Mohdsuhaimi.com : http://www.mohdsuhaimy.com/

3. Aqif Azizan : http://aqifazizan.com/

4. Shahabudeen Jalil : http://www.shahabudeenjalil.com/

5. Usahawan.com : http://www.usahawan.com/

6. Smartusaha.com : http://blog.smartusaha.com/

7. Yusri.biz : http://www.yusri.biz/

8. Iluvislam.com (bhg bisnes) : http://www.iluvislam.com/bisnes.html


10. Bigfish Team: http://bigfishteam.wordpress.com/ (tentang kewangan)


12. irwandahnil.com: http://www.irwandahnil.com/

13. sukses.my: http://www.sukses.my/

14. Minda Cemerlang: http://cpintrass.com/blog/

15. Enterepreneur: http://www.entrepreneur.com/

16. Moms in Business Network (bhg articles): http://momsinbusiness.net/

17. Panduan Bekerja di Rumah: http://naufalsayang.blogspot.com/

18. Majalah Niaga: http://www.majalahniaga.com/

19. Tip-tips Bisnes Puan Ainon Mohd: http://puanainonmohd.blogspot.com/



akan terus diupdate..

10 Langkah untuk menambahkan rezeki

Para ulama muktabar meriwayatkan bahawa 10 langkah atau perkara berikut apabila diamalkan akan dapat menambah dan menyuburkan rezeki serta mendatangkan keberkatan.

1. Taubat

Seseorang itu hendaklah sentiasa bertaubat di atas dosa yang telah dilakukannya. Taubat tersebut mestilah diiringi dengan:

meninggalkan perkara-perkara dosa yang telah dilakukan
menyesal dan membenci perbuatan dosa tersebut
berazam tidak akan kembali melakukan dosa tersebut
mengembalikan hak kepada yang berhak
menggantikan fardu yang telah luput

2. Takutkan Allah

Rasa takut yang sebenar-benarnya kepada Allah yakni takutkan kemurkaan dan pembalasan-Nya dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

3. Niat Yang Satu Dalam Mencari Rezeki

Mencari rezeki atau keperluan hidup dengan niat untuk membantu kita mendekatkan diri dengan Allah yakni untuk melaksanakan perintah Allah supaya dapat menjalankan tanggung jawab kepada keluarga, sesama manusia dan makhluk.

4. Sabar

Menahan diri dari keluh kesah terhadap sesuatu yang tidak disukai yang menimpa diri seperti. Sifat sabar perlu ada dalam diri ketika menghadapi situasi berikut:

Ketika ditimpa bala, penyakit atau lain-lain ujian daripada Allah
Ketika mengerjakan segala perintah Allah
Ketika berusaha meninggalkan segala larangan Allah
5. Bersyukur

Mensyukri dan memuji Allah di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya dan menggunakan segala nikmat tersebut di jalan yang diredhai Allah.

6. Ikhlas

Menumpukan niat atau perkerjaan yang dilakukan semata-mata kerana Allah dan membersihkan hati dar sifat riya’, takbur atau inginkan pujian dari manusia.

7. Tawakkal

Berpegang hati dan berserah diri kepada Allah setelah berusaha kerana yakin Allah berkuasa di atas segala sesuatu.

8. Sentiasa Mengingati Allah

Kasihkan Allah dengan mengingati-Nya pada setiap ketika dan keadaan. Hendaklah bersegera menunaikan perintah-Nya yang fardhu dan menambah amalan-amalan sunat dan berusaha dengan sedaya upaya untuk menjauhi dosa dan maksiat.

9. Redha

Menerima dengan tenang segala ujian daripada Allah dan redha dengan ketentuan-Nya tanpa berkecil hati dan yakin dengan rahmat Allah kerana Allah Maha Mengetahui di atas setiap sesuatu yang berlaku.

10. Sentiasa Mengingati Mati

Sentiasa mengingati mati akan menjadikan kita sentiasa mempersiapkan diri dengan amalan-amalan kebajikan dan menjauhi amalan-amalan buruk kerana takutkan balasan dan azab daripada Allah SWT. Amalan-amalan kebajikan akan membuka pintu rezeki manakala maksiat akan menutup pintu rezeki.



4 Tahap Kedudukan Kewangan

Anda boleh nilai sendiri dan cuba bandingkan dengan kedudukan kewangan anda.

1. Kewangan Yang Tidak Selamat
Anda tidak mempunyai simpanan, jika ada pun hanya cukup untuk menyara hidup anda selama sebulan sahaja. Bertambah parah apabila anda tiba-tiba hilang pekerjaan. Hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang, makan petang.

2. Kewangan Yang Selamat
Anda mempunyai simpanan yang mampu menyara hidup anda dan keluarga selama 6 bulan walaupun tidak bekerja. Tempoh 6 bulan ini merupakan jangka
waktu yang sesuai untuk anda mencari pekerjaan baru atau membuka perniagaan.

3. Financial Freedom – Kebebasan Kewangan
Anda mempunyai aliran tunai pendapatan secara automatik yang cukup untuk menyara hidup anda dan keluarga. Pada ketika ini, anda bebas menentukan sama ada hendak bekerja ataupun tidak.

4. Tahap Selesa – Kaya
Mempunyai wang yang cukup banyak sehingga tidak tahu apa yang hendak dibelanjakan lagi. Pendek kata, belanjalah sebanyak mana pun, wang tetap tidak akan habis!




Thinking Big




Beri peluang kepada diri anda untuk “think big”. Kesemua kisah kejayaan bermula dengan thinking big.

Ini adalah kerana, dengan mengimpikan sesuatu yang besar, anda memaksa diri anda untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif untuk mencapai sesuatu yang diluar jangkaan anda. Kebanyakan dan mungkin juga SEMUA kisah kejayaan bermula dengan FIKIR BESAR!

Sekiranya anda mempunyai gerai, fikirkan bagaimana gerai itu boleh menjadi kedai. Sekiranya anda mempunyai sebuah kedai, fikirkan bagaimana anda boleh membina kedai-kedai tambahan (francais). Sekiranya anda sudah berjaya di negeri anda, fikirkan bagaimana anda boleh menambahkan kejayaan di mata negara (seluruh Malaysia). Sekiranya anda sudah berjaya di Malaysia, fikirkan bagaimana anda boleh berjaya di peringkat antarabangsa.

Sekiranya pendapatan anda adalah RM1,000, fikirkan bagaimana anda boleh memperolehi pendapatan RM10,000. Sekiranya pendapatan anda RM10,000, fikirkan pula bagaimana untuk memperolehi RM100,000!

Menurut sejarah, segala kejayaan yang cemerlang bermula dengan kebolehan seseorang itu dalam “thinking big”. Pepatah Inggeris mengatakan:

“Shoot for the stars, if you don’t get it, you still get the moon!”
(Bermatlamat untuk mencapai bintang-bintang. Sekiranya anda tidak kesampaian, anda masih mencapai bulan)

Maksudnya untuk memberi anda kebebasan berfikir sesuatu yang lebih hebat dan besar daripada zon selesa anda. Sekiranya sesuatu hebat itu tidak tercapai, anda masih lagi mencapai sesuatu yang amat membanggakan.



Matematik Sedekah 10-1=19

Jika anda mahu harta yang sedia ada berlipat ganda, sedekah adalah jalan yang terbaik. Kerana Allah juga berfirman dalam Surah Al-An’am ayat 160 yang membawa maksud, “Barangsiapa yang membawa amalan yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya, dan barangsiapa yang membawa perbuatan yang jahat maka dia tidak akan diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatan yang dilakukannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).”

Matematik Sedekah oleh Ustaz Yusuf Mansor

Untuk memudahkan lagi pemahaman kita tentang amalan sedekah ini, mari kita bersama menghayati Matematik Sedekah menurut Ustaz Yusuf Mansur. Menurutnya, Allah telah berjanji akan menggantikan wang yang telah kita keluarkan untuk bersedekah. Paling menarik, Allah bukan sahaja menggantikan wang yang telah disedekahkan, tetapi akan menggantikannya sebanyak sepuluh kali ganda dengan nilai yang kita belanjakan. Sebagai contoh mudah, kita mempunyai RM10, lalu kita sedekahkan RM1 kepada seorang budak peminta sedekah. Kita mempunyai baki sebanyak RM9. kita bakal mendapat RM19 dengan janji yang telah Allah buat. Wang yang telah disedekahkan itu telah digandakan 10 kali ganda iaitu RM10. Maka, kita akan mendapat RM19 suatu hari kelak sebagai rezeki yang lain.

Orang yang bersedekah akan memperolehi 5 kebaikan di akhirat iaitu golongan yang bersedekah akan dipayungkan pada hari Qiamat semasa cuaca sangat panas. Selain itu, golongan ini juga akan ringan hisabnya. Mereka juga akan mendapat timbangan amalan kebaikan yang berat. Tambahan lagi, golongan ini akan meniti Titian Sirat dengan lancar dan pantas. Terakhir, golongan ini akan diangkat darjatnya di dalam syurga.

Inilah rahsia sedekah yang tidak diketahui oleh ramai orang. Dengan memberikan sedikit kesenangan kepada orang lain melalui bersedekah, kita akan memperolehi manfaat yang tidak ternilai. Dengan niat memberi sedekah untuk menyenangkan bebanan orang yang memerlukan, tanpa disangka dengan kebaikan itu Allah telah memanjangkan umur kita, menolak bala dan bencana selain membuatkan kita menjadi lebih kaya.



Wawancara dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary


harus baca....

http://dahalmi.wordpress.com/2010/09/24/petikan-wawancara-dengan-tan-sri-syed-mokhtar-albukhary/


atau



Empayar Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

Tuesday, April 10, 2012

Kisah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary



Banyak yang diperkatakan mengenai seorang tycoon bumiputera terkenal di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari. Menjadi Bumiputera yang paling kaya dalam Malaysia dengan aset sebanyak 167 bilion, namanya amat masyhur baik di dalam mahupun di luar negara. Dengan banyak kepentingan dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk pengangkutan dan logistik, perladangan, pembangunan hartanah, pertahanan dan gudang senjata serta generasi kejuruteraan dan kuasa, beliau adalah seorang tokoh simbolik yang memegang falsafah bahawa ‘pendidikan tidak menjamin kejayaan dalam hidup, tetapi kerja keras’.

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari dilahirkan ke dalam keluarga kelas pertengahan rendah di utara Semenanjung Malaysia. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Baru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s. Pendidikan yang tertinggi adalah hanya sehingga tingkatan lima, dan dia tidak pernah pergi ke universiti. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak mempunyai pengetahuan. Banyak pengetahuan dan pengalaman beliau telah diperoleh melalui pengalaman keusahawanan sendiri semasa mudanya.


Disebabkan oleh latar belakang keluarga yang miskin, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari terpaksa melangkah ke dunia bekerja dalam kehidupan awal beliau, pada masa yang sama mengikuti pengajian rendah dan menengah. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu ibunya menanam dan menjual sayur-sayuran di pasaran dan juga menjual roti canai. Pengetahuan angka beliau digunakan untuk membantu bapanya dalam melakukan buku simpanan harian.

Selepas tamat sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari membantu bapanya dalam perniagaan lembu penternakan tetapi hanya untuk melihat perniagaan itu muflis akibat penyakit kaki dan mulut. Walau bagaimanapun, beliau mengambil alih perniagaan dan mula semula dengan menjual daging. Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS. Tan Sri Syed Mokhtar kemudian menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas dan berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.

Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Sekitar tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari menumpukan usaha beliau kepada bidang yang membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia. Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.Kejayaannya dapat dilihat dengan penguasaan sebanyak 90 peratus ke atas Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd pada tahun 1993. Beliau juga telah berjaya mendapat satu projek mega apabila Seaport diberi penyerahan selama 30 tahun untuk membina Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Seaport memiliki 60 peratus daripada projek Pelabuhan Tanjung Pelepas dan menjadikan beliau sebagai pemegang saham yang terbesar. Beliau telah mendapat pujian oleh kerajaan kerana kejayaannya mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dimana beliau berjaya menguruskan pelabuhan tersebut menjadi satu pelabuhan yang cergas di bahagian Selatan Semenanjung Malaysia. PTP berjaya menarik minat syarikat perkapalan Taiwan Evergreen Marine Corporation seperti yang diumumkan akan memindahkan seluruh operasi kontenanya ke Johor daripada Singapura. Ia merupakan satu projek yang akan memacu rencana kerajaan Malaysia untuk membangunkan negara sebagai hak perkapalan yang termaju di rantau ini.

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi. MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ianya dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. Secara persendirian, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari juga memiliki SKS Ventures Sdn. Bhd di mana beliau telah diberi tanggungjawab menjalankan projek membina 2100MW tapak ‘gas-fired‘ di Tanjung Bin, Johor. Beliau juga mempunyai kepentingan di dalam PERNAS di mana Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari memiliki 32% saham melalui syarikat Restu Jerneh. Beliau juga turut memiliki kepentingan di dalam Fiamma Holdings Berhad di mana terdapat 18.68% saham diperoleh melalui Syarikat Perdana Padu Sdn Bhd dan Corak Kukuh Sdn Bhd miliknya. Tan Sri Syed Mokhtar juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Bina Puri Holdings Berhad di mana beliau merupakan pemegang saham secara individu sebanyak 7.34 %.

Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimiliki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah. Malah, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan. “Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Al Bukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita,” pesan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari. Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang diasaskan beliau telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur. Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia. Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM775 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah. Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM1 juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri dan Dato’ Setia mahkota Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato’.

Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dan beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang dilakukan. Beliau juga merupakan seorang yang berhati-hati dalam perniagaan terutamanya soal pembelian dan pengambilalihan kepentingan dalam sesebuah syarikat dan projek. Beliau seolah-olah memikirkan kepentingan orang ramai terutamanya bumiputera sebelum membuat apa-apa keputusan penting dalam perniagaan. Beliau memiliki peribadi unggul yang wajar dicontohi semua pihak.

Sumber: http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/rahsia-kejayaan-tan-sri-syed-mokhtar-al-bukhary.html

Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Syed_Mokhtar_Al-Bukhary


Rahsia Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary


  • Saya bertindak mengikut KEPERLUAN tapi kena terus berusaha agar setiap masalah selesai secepat mungkin
  • HARUS menyelesaikan isu
  • TIDUR selalu lewat, lagi malam lagi cerah mata saya kerana saya suka buat kerja malam-malam
  • JANGAN lari daripada tanggungjawab
  • Perkara yang benar akan beri kita KEKUATAN untuk terus berusaha
  • Yang PENTING, semua kerja jadi. Kena selesaikan isu walaupun berat


Mutiara Kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana,hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa!

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

Sumber: http://blogalaan.blogspot.com/2012/03/mutiara-kata-tan-sri-syed-mokhtar-al.html